Anwar cadang Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives bersidang di Kuala Lumpur akhir tahun ini
MALE – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini bagi mempercepat kerjasama dua hala dan menyelesaikan beberapa isu yang masih tertangguh antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, peranan suruhanjaya berkenaan adalah penting terutama kerana terdapat beberapa perkara yang masih belum diselesaikan.
Selain itu katanya, pertemuan lebih awal dapat menunjukkan komitmen kedua-dua negara itu dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.
“Saya kemudian mencadangkan supaya suruhanjaya bersama antara kedua-dua negara dapat dipermudah pada masa paling awal dan kita juga boleh meneroka kemungkinan mengadakan mesyuarat yang akan kita hos di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media bersama di sini, hari ini.
Anwar mengadakan lawatan dua hari ke Maldives dengan sambutan rasmi di Malé hari ini dalam usaha Malaysia memperkukuh hubungan dengan negara kepulauan di Lautan Hindi itu merangkumi bidang perdagangan, pelaburan dan bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu tiba Jeti Izzudheen pada jam 9.29 pagi waktu tempatan (12.29 tengah hari waktu Malaysia), sebelum disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu dan persembahan kebudayaan oleh pelajar sekolah tempatan.
Beliau diiringi Menteri Hal Ehwal Islam Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed yang juga menteri yang ditugaskan mengiringi lawatan berkenaan.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.
Anwar berkata, hubungan dua hala yang lebih kukuh perlu dibina berasaskan persefahaman, saling menghormati dan kepercayaan di peringkat peribadi serta nasional.
“Ini akan memperlihatkan komitmen kita untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara bersaudara,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme yang dicadangkan itu juga boleh membantu menangani isu membabitkan kedutaan kedua-dua negara serta perkara lain yang memerlukan penyelarasan antara kerajaan.
Anwar berkata, Malaysia dan Maldives sudah membangunkan hubungan rapat, selain menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Mohamed Muizzu dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara. -BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








