Penstrukturan subsidi: Bekalan telur ayam di pasaran melebihi dari permintaan
PUTRAJAYA – Bekalan telur ayam di pasaran mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, data itu diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang memantau bekalan tersebut.
Sehubungan itu katanya, pihak industri dari semasa ke semasa akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan kepada data pengeluaran semasa.
“Proses pelarasan harga ini adalah sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka, namun tidak menjejaskan jaminan bekalan telur untuk pengguna.
“Berdasarkan tinjauan KPKM, bekalan telur Gred A, B dan C masih stabil dan boleh dibeli di pasaraya-pasaraya manakala bekalan telur Gred Khas dengan harga mampu milik turut tersedia dengan kuantiti yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, KPKM juga akan meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur termasuk meneruskan inisiatif Jualan Agro MADANI bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan harga dan tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada sekiranya berlaku sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi serta kenaikan harga yang tidak munasabah.
“KPKM sentiasa komited untuk memastikan bekalan telur mencukupi dan terjamin bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







