68 maut, lebih 100 cedera dalam nahas dua kereta api laju di Sepanyol
MADRID – Angka kematian akibat nahas pertembungan dua kereta api laju di Toledo, Sepanyol meningkat kepada 60 orang manakala lebih 100 lagi dilaporkan cedera.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.53 pagi waktu tempatan apabila sebuah kereta api AVE kendalian syarikat milik kerajaan, Renfe, merempuh bahagian belakang kereta api Iryo yang berhenti di landasan.
Pertembungan itu menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan, termasuk dua gerabak yang terjunam ke cerun. Pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam gelinciran gerabak.
Kedua-dua kereta api itu membawa 544 penumpang. Kereta api Renfe membawa 397 penumpang, manakala Iryo membawa 147 penumpang ketika kejadian.
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente berkata, siasatan awal menunjukkan kegagalan komunikasi komputer menyebabkan sistem keselamatan automatik menghentikan beberapa kereta api.
Bagaimanapun, pusat kawalan kemudian membenarkan kereta api Renfe meneruskan perjalanan walaupun isyarat merah masih aktif dan landasan di hadapannya belum kosong.
Pihak berkuasa sedang menyiasat keputusan berkenaan bagi menentukan punca sebenar nahas.
Perdana Menteri, Pedro Sánchez, membatalkan jadual rasminya untuk memberi tumpuan kepada tragedi itu, manakala kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional.
Nahas itu merupakan kemalangan kereta api paling buruk di Sepanyol sejak tragedi Santiago de Compostela pada 2013 yang mengorbankan 80 orang.
Ia juga berlaku kurang setahun selepas nahas kereta api di Adamuz pada Januari lalu yang meragut 46 nyawa, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan rangkaian rel berkelajuan tinggi negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








