JENAYAH & MAHKAMAH

Terpedaya skim pelaburan palsu, duit pencen RM1.08 juta lesap dikebas scammer

JOHOR BAHRU – Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanan persaraannya lesap akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu membabitkan kerugian keseluruhan RM1.08 juta.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula pada November tahun lalu selepas mangsa dipercayai tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook yang dikenali sebagai ‘Quature Asante Capital’ yang menawarkan keuntungan antara lapan hingga 20 peratus dalam tempoh singkat.

Menurut Raub, mangsa yang ketika itu berada di rumah telah menghubungi seorang individu dikenali sebagai Amanda Tan Li Xin bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaburan tersebut.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai dikendalikan sindiket berkenaan sebelum diarahkan membuka akaun pelaburan dalam talian.

“Selepas itu, mangsa diminta membuka akaun dikenali sebagai ‘International Trading Account Otixgo’ yang dikendalikan oleh seorang lagi individu melalui nombor telefon 016-5897230,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, akibat terpengaruh dengan janji keuntungan tinggi, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Transaksi pertama dilakukan pada 27 Januari 2026 melibatkan jumlah RM500,000 ke akaun atas nama YYS Sec Venture Sdn Bhd, diikuti pemindahan kedua sebanyak RM500,000 pada 9 Februari 2026 ke akaun Helicona Service Sdn Bhd.

“Transaksi terakhir pula dibuat pada 26 Februari 2026 berjumlah RM80,000 ke akaun YQ Story Gadgets, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1.08 juta,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah suspek memberi pelbagai alasan sebelum gagal dihubungi.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis. Semakan awal melalui sistem CCIS mendapati nombor telefon dan akaun bank yang digunakan tidak mempunyai rekod penipuan sebelum ini, namun dipercayai telah dipergunakan oleh pihak tertentu,” jelas beliau.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button