HASiL beri amaran penipuan menyamar ‘Assessment Order’, orang ramai diminta lebih berwaspada
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap taktik penipuan yang menggunakan surat atau mesej palsu kononnya berkaitan perintah taksiran cukai.
Menerusi satu poster amaran yang dikongsikan di media sosial, HASiL memaklumkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai agensi itu dengan menghantar mesej atau emel bertajuk Assessment Order of YA 2025-26 – Income Escapement bagi memperdaya mangsa.
Mesej tersebut biasanya mendakwa penerima mempunyai tunggakan cukai dan diminta membuat bayaran dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan tindakan lanjut.

HASiL menjelaskan bahawa taktik itu merupakan sebahagian daripada modus operandi sindiket penipuan siber yang cuba menimbulkan panik supaya mangsa segera bertindak tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sekiranya menerima sebarang surat, e-mel, panggilan telefon atau mesej melalui aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram yang mendakwa berasal daripada HASiL.
Agensi berkenaan turut menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan cukai perlu disahkan terlebih dahulu melalui saluran rasmi bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan.
“Jangan sampai anda terpedaya. Semak dulu untuk kepastian,” tulisnya menerusi hantaran ringkas di media sosial.
Orang ramai juga digalakkan menghubungi talian rasmi HASiL atau merujuk portal rasmi agensi itu sekiranya menerima sebarang komunikasi mencurigakan berkaitan urusan percukaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















