JENAYAH & MAHKAMAH

Pensyarah kanan rugi lebih RM170,000 dua kali terpedaya sindiket penipuan

KUALA TERENGGANU – Seorang pensyarah kanan sebuah universiti bukan sahaja menjadi mangsa sindiket pelaburan mata wang kripto palsu, malah turut terperdaya dalam satu lagi penipuan ‘parcel scam’ hanya dalam tempoh beberapa hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 54 tahun itu mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM172,170 hasil daripada dua kes berasingan yang berlaku pada pertengahan hingga hujung Julai lalu.

Menurut beliau, kes pertama melibatkan pelaburan kripto bermula pada 15 Julai apabila mangsa berkenalan dengan seorang wanita warga Hong Kong melalui aplikasi media sosial Tilmatch.

“Wanita tersebut memperkenalkan pelaburan mata wang kripto dan memberikan penerangan kepada mangsa.

“Pada 19 Julai, mangsa mendaftar di sebuah platform pelaburan dikenali sebagai ‘cryptoproe’ dan mula membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azli berkata, sepanjang tempoh 19 hingga 25 Julai, mangsa melakukan lima transaksi pembayaran melalui akaun Luno miliknya ke platform pelaburan itu berjumlah RM162,170.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati dia tidak boleh mengeluarkan keuntungan mata wang digital dari platform berkenaan malah masih diminta menambah modal oleh sindiket.

“Sumber kewangan mangsa adalah daripada simpanan peribadi,” katanya lagi.

Dalam satu lagi kejadian pada 27 Julai kira-kira jam 7.15 pagi, mangsa yang tinggal di Kuala Terengganu berkenalan pula dengan individu lain yang memperkenalkan diri sebagai Elizabeth melalui aplikasi sama.

“Mangsa mula menjalin hubungan cinta dalam talian dan memberikan alamat rumahnya kononnya untuk penghantaran barang dari luar negara.

“Beberapa hari kemudian, pihak yang mendakwa sebagai kurier ‘Speed Parcel’ meminta bayaran RM4,000 bagi penghantaran barang.

“Kemudian, mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan RM8,500 atas alasan kastam telah menemui wang dalam bungkusan berkenaan. Mangsa hanya mampu membayar RM6,000,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, ketika ingin menjelaskan baki RM2,500 di sebuah mesin ATM, mangsa mendapati transaksi tidak dapat dilakukan.

Hasil semakan dengan pihak bank mendapati akaun penerima wang itu tersenarai dalam aktiviti penipuan.

“Mangsa mengalami kerugian RM10,000 untuk kes kedua itu dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 3.12 petang semalam,” katanya lagi.

Menurut Azli, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan luar talian serta hubungan cinta maya yang tidak pernah ditemui secara fizikal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button