BERITA SEMASA

Malaysia terbuka teroka inovasi perumahan global – Nga Kor Ming

HONG KONG – Malaysia bersedia mempelajari amalan terbaik antarabangsa dan meneroka inovasi baharu dalam sektor perumahan bagi memastikan rakyat terus menikmati kediaman mampu milik berkualiti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cabaran perumahan seperti perubahan iklim, kemampuan memiliki rumah dan kekangan sumber bukan hanya dialami Malaysia, sebaliknya merupakan isu global yang memerlukan kerjasama rentas negara.

“Aspirasi kita besar, dan untuk mencapainya, kerjasama serta perkongsian pintar amat diperlukan.

“Malaysia tidak melihat dirinya semata-mata sebagai pasaran domestik, sebaliknya rakan strategik kepada pemain global, termasuk dari hab terkemuka seperti Hong Kong,” katanya pada Sidang Kemuncak Inovasi dan Teknologi Perumahan 2025 (Housing I&T Summit) di sini, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia dan Hong Kong mempunyai banyak ruang kerjasama yang boleh diterokai termasuk penyelidikan bersama, perkongsian teknologi pembinaan, pembangunan data besar (big data) perumahan serta inisiatif pembaharuan bandar.

“Cabaran perumahan terlalu besar untuk ditanggung satu negara. Malaysia menghulurkan tangan untuk bekerjasama, menghimpunkan kepakaran, modal serta pengalaman bagi mencapai penyelesaian bersama,” katanya lagi.

Kor Ming turut menegaskan kehadiran Malaysia di sidang kemuncak ini buat pertama kali membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan ekosistem perumahan yang mampan, pintar dan berpaksikan teknologi.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan sasaran membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035, dan usaha itu bukan hanya untuk menyediakan tempat tinggal, tetapi membina komuniti berkualiti untuk generasi akan datang.

“Matlamat kita bukan sekadar mendirikan rumah. Kita mahu melahirkan komuniti yang selamat, sejahtera dan membahagiakan,” katanya lagi.

Sidang kemuncak empat hari yang berlangsung mulai hari ini sehingga 7 November itu dianjurkan oleh Biro Perumahan Kerajaan Hong Kong bersama Pihak Berkuasa Perumahan Hong Kong dengan penyertaan pakar antarabangsa dari pelbagai negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button