89 projek perumahan sakit berjaya dipulihkan, KPKT terus komited tangani isu perumahan terbengkalai
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 89 projek perumahan swasta sakit dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.48 bilion.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kejayaan itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu projek perumahan terbengkalai dan memberikan harapan kepada pembeli yang terjejas.

“Sebanyak 82 projek sakit telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala tujuh lagi kembali lancar. Ini adalah langkah positif dalam memastikan hak pembeli terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan TFST sehingga 28 Februari 2025, masih terdapat 230 projek lewat, 347 projek sakit dan 116 projek terbengkalai di seluruh negara.

Tiga projek baharu disahkan terbengkalai pada Januari lalu di Selangor, Terengganu dan Pahang, menjadikan jumlah keseluruhan projek terbengkalai semakin meningkat.
Setakat ini, tiada projek perumahan terbengkalai yang berjaya dikeluarkan daripada senarai.

Aiman Athirah berkata, KPKT akan terus mempergiatkan usaha pemulihan termasuk melalui peruntukan pembangunan tahun 2025 dengan kerjasama agensi pelaksana negeri.
“Sebanyak 13 projek perumahan sakit di bawah inisiatif Belanjawan 2023 dijangka memperoleh CCC tahun ini, dengan tiga projek siap pada suku pertama, lapan projek pada suku kedua, serta masing-masing satu projek pada suku ketiga dan keempat,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa KPKT akan memohon peruntukan tambahan bagi projek yang memenuhi kriteria pada tahun 2026, bagi memastikan lebih ramai pembeli yang teraniaya mendapat pembelaan.
Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan terus memperinci pemantauan pemulihan projek perumahan bagi memastikan keberkesanannya.
“KPKT akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan masalah projek sakit dan terbengkalai demi kesejahteraan pembeli rumah,” katanya lagi.
Usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memulihkan sektor perumahan negara dan memastikan pembeli menerima kediaman yang dijanjikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







