Rigel pacu inovasi sanitari mampan, sokong aspirasi Malaysia Madani
PETALING JAYA – Pembukaan bilik pameran baharu Rigel Technology (M) Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan teknologi sanitari hijau dan pintar di Malaysia, seiring aspirasi Malaysia Madani serta dasar bandar pintar yang digerakkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembukaan bilik pameran baharu itu bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan positif Rigel sebagai peneraju teknologi sanitari malah memperlihatkan komitmen syarikat terhadap inovasi mampan dan mesra alam dalam sektor perumahan serta kemudahan awam.
Menurut beliau, KPKT sejak tahun 2023 telah memperkenalkan konsep Tandas Awam BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam serta meningkatkan imej negara di mata pelancong.
“Konsep ini menjadi panduan kepada semua pihak berkuasa tempatan dan pengusaha swasta untuk mewujudkan tandas awam bertaraf dunia. Pelaksanaannya amat penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya percaya, pembukaan bilik pameran ini akan menjadi platform penting dalam memperkenalkan teknologi sanitari terkini, sekaligus mendidik masyarakat tentang pentingnya kebersihan dan inovasi dalam kehidupan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks dibacakan Ketua Pengarah Jabatan kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali pada Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran Baharu, Rigel Technology.
Menurut Kor Ming, konsep BMW bukan sekadar kempen kebersihan tetapi satu anjakan paradigma nasional yang menekankan tanggungjawab bersama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta bagi mewujudkan kemudahan awam yang selesa, selamat dan berdaya huni.
Katanya, sebagai pengiktirafan kepada usaha pihak swasta dan awam yang menyokong inisiatif tersebut, KPKT akan menganjurkan Anugerah “Toilet of The Year” (TOTYA) 2025 pada 19 November ini di Hotel Westin Kuala Lumpur.
Anugerah itu, jelas beliau akan memberi penghormatan kepada organisasi dan syarikat yang berjaya membangunkan tandas awam bertaraf BMW terbaik.
“Rigel Technology merupakan antara rakan strategik utama TOTYA. Komitmen Rigel menunjukkan bahawa sektor swasta memainkan peranan penting dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau sambil mengalu-alukan lebih banyak syarikat tampil sebagai rakan strategik TOTYA.
Dalam ucapan beliau, Kor Ming turut menegaskan bahawa usaha Rigel sejajar dengan dasar KPKT yang memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar dan persekitaran mampan melalui penggunaan teknologi hijau serta penyelesaian automatik dalam sistem bangunan.

“Inovasi seperti sistem bilik air automatik, flush valve pintar dan produk penjimatan air bukan sahaja meningkatkan tahap kebersihan dan kecekapan malah menyumbang kepada pengurusan sumber air yang lestari,” katanya.
Jelas beliau, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan aspirasi bandar pintar di Malaysia.
“Kerajaan tidak mampu melaksanakan visi ini bersendirian. Sumbangan sektor swasta seperti Rigel membuktikan bahawa perkongsian pintar ini mampu membawa manfaat besar kepada komuniti dan alam sekitar,” tambahnya.
Bilik pameran baharu Rigel Technology itu mempamerkan rangkaian produk sanitari dan teknologi bilik air pintar termasuk sistem Internet-of-Toilet (IoT) iaitu inovasi pengurusan tandas pintar yang mengoptimumkan kebersihan, kecekapan dan penggunaan tenaga melalui penderia automatik serta pemantauan data masa nyata.
Ditubuhkan pada 1991 dan beribu pejabat di Singapura, Rigel kini menjadi peneraju serantau dalam penyelesaian bilik air mampan dengan projek ternama di Malaysia, Singapura, Vietnam, Indonesia dan China.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Christopher Ng, berkata pelancaran itu mencerminkan komitmen Rigel terhadap inovasi dan kehidupan pintar yang mampan.
“Kami beriltizam menetapkan piawaian baharu dalam rekaan dan teknologi sanitari, seiring usaha mencapai gaya hidup yang lebih pintar dan lestari,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








