ONSA mula dikuatkuasakan, MCMC perkukuh perlindungan kanak-kanak, keluarga
CYBERJAYA – Usaha memperkukuh keselamatan ruang siber negara memasuki fasa baharu apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bertujuan meningkatkan perlindungan pengguna internet, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, ONSA menyediakan kerangka perundangan menyeluruh bagi menangani kemudaratan dalam talian dengan meletakkan tanggungjawab dan kewajipan yang jelas ke atas pemberi perkhidmatan berlesen.

Menurut MCMC, akta itu mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, menyediakan perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta memastikan kewujudan mekanisme pelaporan dan bantuan yang berkesan untuk pengguna.
“ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan tidak melibatkan pengguna individu,” kata kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini.
“Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia termasuk ONSA,” kata MCMC.
MCMC menjelaskan bahawa langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat, bertujuan memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan serta akauntabiliti yang bersesuaian.
“Seiring perkembangan pesat ekosistem digital negara, MCMC kekal komited untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga,” tegas kenyataan itu lagi.
Maklumat lanjut mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 boleh didapati di laman sesawang rasmi MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








