BERITA SEMASA

Banjir Sabah: MCMC gerakkan PRIME, NADI

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggerakkan kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan sistem perhubungan di kawasan dilanda bencana banjir di Sabah tidak terjejas.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, sistem PRIME iaitu kenderaan mudah alih dilengkapi sokongan komunikasi, telah digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Pada masa yang sama, sebanyak 131 NADI turut diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan, agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu turut memberitahu, sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.

“Bagaimanapun, sebanyak 147 menara telah kembali beroperasi dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi,” kata MCMC.

MCMC turut memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan.

“Mesyuarat berkala ini memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting, di samping memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset, supaya proses pemulihan komunikasi dapat dipercepatkan.

“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi, serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button