MCMC tumpaskan sindiket Fake BTS di Johor Bahru
CYBERJAYA – Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station) untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengandungi pautan penipuan kepada orang ramai menerusi satu operasi penguatkuasaan di Johor Bahru, Jumaat lalu.
Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dikesan memandu sebuah kenderaan yang dilengkapi peralatan Fake BTS yang memancarkan isyarat frekuensi radio (RF).

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai menyasarkan kawasan tumpuan awam terutama pada waktu puncak bagi memaksimumkan penghantaran SMS penipuan kepada pengguna telefon bimbit.
Fake BTS merupakan peralatan komunikasi tidak standard yang meniru isyarat rangkaian mudah alih bagi membolehkan SMS dihantar terus ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus menyebabkan mesej penipuan kelihatan seolah-olah dihantar oleh pihak yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Kesalahan di bawah Seksyen 239 memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan di bawah Peraturan 16 boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.
Sehingga pertengahan tahun ini, MCMC telah melaksanakan lima operasi khas bagi membanteras kegiatan Fake BTS membabitkan dua operasi di Johor dan tiga di Genting Highlands.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak empat modul GSM yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu dirampas, manakala empat individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Pihak MCMC akan terus memperhebat operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi yang digunakan untuk tujuan penipuan serta kegiatan jenayah.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengklik sebarang pautan yang diterima menerusi SMS mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.
“Pada masa yang sama, orang ramai diminta segera melaporkan mesej mencurigakan kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan tindakan segera diambil,” kata MCMC lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















