AS akui tempatkan sistem senjata angkasa lepas di orbit Bumi
WASHINGTOIN – Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pihaknya telah menempatkan senjata angkasa lepas di orbit Bumi, kali pertama negara itu mengakui mempunyai keupayaan ofensif sedemikian.
Laporan BBC yang memetik ucapan Setiausaha Tentera Udara Amerika Syarikat, Troy Meink berkata, senjata yang ditempatkan “di orbit” itu diperlukan bagi melindungi pasukan AS daripada tindakan pihak musuh.
Meink ketika berucap pada Persidangan Udara, Angkasa dan Siber, Isnin lalu berkata, AS bersedia menghadapi “ancaman yang semakin berkembang”, namun tidak memperincikan keupayaan senjata berkenaan atau bila ia ditempatkan di orbit.
Pemimpin kanan tentera sebelum ini berkata, mereka merancang untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan di angkasa lepas, dengan menyatakan program Rusia dan China sedang membangunkan kaedah untuk menyerang serta mengganggu satelit Amerika Syarikat sekiranya berlaku konflik pada masa depan.
Susulan kenyataan Meink, China pada Selasa memberi amaran terhadap “perlumbaan senjata” di angkasa lepas.
“Kami menggesa AS menghentikan usaha memperluaskan keupayaan ketenteraan dan persediaan untuk berperang di angkasa lepas,” kata jurucakap Kementerian Luar China seperti dipetik AFP.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Angkasa AS berkata, kawalan angkasa merangkumi bidang misi yang diperlukan untuk mencabar dan mengawal domain angkasa, dengan menggunakan kaedah kinetik dan bukan kinetik untuk menjejaskan keupayaan pihak lawan melalui gangguan, kemerosotan keupayaan dan, jika perlu, kemusnahan.
“Keupayaan ini boleh digunakan untuk tujuan menggempur dan bertahan atas arahan pihak pemerintah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
