Tuanku Muhriz kekal sah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan – DKU
SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan menegaskan, kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kekal sah, sekali gus menolak keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang didakwa mengiktiraf pemerintah baharu.
Menurut Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU) kekal selagi jawatan itu dipegang secara sah.
“Dewan menegaskan semula bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan.
“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta ketetapan Dewan.
Raja Norasli berkata, DKU turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bertarikh 15 September lalu yang menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Kesahan serta kesan proklamasi itu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman.
“Pendirian ini adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan dengan ketetapan Dewan,” katanya lagi.
Beliau menambah, berdasarkan Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasa DKU.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dokumen bertajuk ‘Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil 6 Tahun 2026’ bertarikh 16 September lalu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang, setakat mana ia bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu dan mengarahkan pelaksanaannya serta-merta.
Katanya, dokumen itu menyentuh perkara di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan DKU yang mengikat.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








