PKR nafi atur perangkap khalwat untuk lemahkan lawan politik
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan parti itu menggunakan isu tangkapan khalwat membabitkan pemimpin politik sebagai strategi untuk memerangkap atau melemahkan pihak lawan.
Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, parti itu tidak menjadikan hal peribadi sebagai senjata dalam persaingan politik, apatah lagi merancang tindakan sedemikian secara rahsia atau terbuka.
“Kita pun ada banyak kerja lain daripada nak mengatur khalwat.
“Tidak pernah … tidak pernah dibincang atau diaturkan secara rahsia mahupun secara terbuka untuk memerangkap lawan politik. Itu bukan kerja kitalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Semarak Kasih Yayasan Selangor 2026, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita yang dipercayai pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Petaling Jaya.
Hari ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan JAIS pada 15 Oktober lalu.
Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan itu sedang memuktamadkan beberapa keputusan berkaitan hala tuju pilihan raya berkenaan.
“Saya menjangka dalam masa seminggu lagi, kita menetapkan beberapa hala tuju lebih jelas dalam pilihan raya berkenaan.
“Kita akan menawarkan calon-calon yang baik. Sekarang dalam peringkat akhir untuk ditapis,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Menurutnya, PH akan mengetengahkan calon yang mempunyai rekod khidmat kepada masyarakat selain berpengalaman, dengan turut memberi ruang kepada individu tertentu untuk menimba pengalaman politik.
“Sesetengah kawasan itu kita hendak memberi peluang calon-calon untuk menimba pengalaman, terutama di kawasan yang mungkin sokongan asas agak rendah.
“Itu akan memberi pelan jangka panjang kepada parti dan juga gabungan PH,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerjasama dengan BERSATU masih belum dimuktamadkan dan keputusan mengenainya dijangka dibuat dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








