Ab Ghani Hassan Presiden baharu FAM
KUALA LUMPUR – Datuk Ab Ghani Hassan dipilih untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas memenangi pemilihan Presiden pada Kongres Luar Biasa FAM, hari ini.
Beliau memperoleh 20 undi, meninggalkan pencabar tunggalnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang hanya mendapat lima undi dalam saingan dua penjuru bagi jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Ab Ghani mengisi kerusi Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029, selepas sebelum ini mempunyai pengalaman sebagai bekas pemain sebelum terbabit dalam pentadbiran bola sepak.
Pemilihan itu diadakan selepas keseluruhan Jawatankuasa Eksekutif FAM mengambil keputusan meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada Januari lalu susulan skandal pemalsuan status pemain warisan kira-kira setahun lalu.
Skandal berkenaan membawa kepada tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain apabila mereka didenda, selain beberapa kemenangan Harimau Malaya dibatalkan.
Kesan daripada isu itu turut menyaksikan ranking pasukan kebangsaan merosot dengan mendadak, selain Harimau Malaya kehilangan kelayakan ke Piala Asia.
Sehubungan itu, pembentukan semula jawatankuasa FAM dilihat penting bagi memastikan badan induk bola sepak negara mempunyai kepimpinan baharu, terutama ketika skuad kebangsaan bakal menghadapi Piala FIFA ASEAN minggu depan.
Kejohanan itu merupakan pertandingan baharu di peringkat serantau yang disenaraikan dalam kalendar FIFA.
Pemilihan Ab Ghani hari ini sekali gus menyaksikan beliau menerima sokongan majoriti dalam Kongres Luar Biasa FAM untuk mengemudi persatuan berkenaan sehingga tamat penggal 2025-2029.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








