Faisal Halim muncul wira Harimau Malaya atasi Nepal 1-0
KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mengekalkan rekod sempurna dalam Kumpulan F selepas menewaskan Nepal 1-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Jaringan tunggal perlawanan hadir pada minit ke-55 menerusi jaringan Faisal Halim yang menyempurnakan hantaran menarik Safawi Rasid.
Meskipun Paulo Josue gagal menjaringkan sepakan penalti pada penghujung permainan, skuad bimbingan Peter Cklamovski tetap berjaya menutup tirai 2025 tanpa sebarang kekalahan.
Aksi pasukan negara bermula dengan langkah kiri apabila bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi, mengalami kecederaan seawal minit kesembilan dan terpaksa digantikan dengan Faisal, sekali gus menjejaskan rentak awal jentera serangan.
Nepal turut berdepan kesukaran apabila Laken Limbu dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama selepas mengasari Harith Haiqal Adam Afkar dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan berharga kepada Malaysia.
Kemenangan itu mengekalkan Harimau Malaya di puncak Kumpulan F dengan 15 mata penuh selepas lima perlawanan, sebelum membuat perhitungan penting menentang Vietnam pada 31 Mac tahun depan, iaitu aksi penentu bagi merebut tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Namun begitu, fokus penyokong kini turut terarah kepada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan yang masih dalam penelitian badan induk berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








