SUKAN

Amerika Syarikat halang pengadil Muslim dari Somalia sertai Piala Dunia

LOS ANGELES – Keputusan Amerika Syarikat (AS) menghalang kemasukan pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan, daripada menjalankan tugasan mengadili perlawanan Piala Dunia 2026 selepas beliau dihalang memasuki negara berkenaan disifatkan mencemarkan prinsip keadilan.

Penasihat kanan Kementerian Belia dan Sukan Somalia serta bekas kapten skuad kebangsaan negara itu, Ciise Aden Abshir, memaklumkan Artan sebenarnya memiliki visa Amerika Syarikat yang sah.

Menurutnya, Artan kembali ke Istanbul selepas tidak dibenarkan memasuki Miami.

“Keputusan menghalang Omar Abdulkadir Artan memasuki Amerika Syarikat dan mengendalikan perlawanan yang telah dijadualkan bukan sahaja menjejaskan individu terbabit, malah mencemarkan prinsip keadilan, merit dan semangat kesukanan dalam bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap FIFA mengesahkan Omar Abdulkadir yang pernah meraih pelbagai pengiktirafan ditolak kemasukan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dan tidak akan terlibat dalam kejohanan berkenaan.

“FIFA mengesahkan bahawa pegawai perlawanan, Omar Abdulkadir Artan tidak dapat menjalani latihan dan mengadili perlawanan di Piala Dunia FIFA 2026 selepas beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat,” katanya kepada AFP.

FIFA turut menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan tersebut kerana ia terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa negara tuan rumah bersama, iaitu Amerika Syarikat.

Walaupun punca penolakan kemasukan tidak didedahkan, Somalia merupakan antara beberapa negara yang disenaraikan dalam larangan perjalanan yang diperkenalkan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Artan merupakan antara 52 pengadil yang diumumkan FIFA untuk mengendalikan Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Beliau memulakan kerjaya pengadilan di liga kebangsaan Somalia sebelum memperoleh lencana FIFA pada 2018.

Artan turut mengadili kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023 di Algeria, dan pada 2025 dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik Afrika oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button