SUKAN

Liga Wanita Nasional 2025 berwajah baharu, saingan lebih kompetitif dan profesional

KUALA LUMPUR – Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 menerima nafas baharu apabila dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini hari ini.

Sebanyak lapan pasukan akan bersaing merebut gelaran juara bagi musim ini, membabitkan empat pasukan sedia ada iaitu Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC dan Red Eagles FC serta empat pasukan baharu iaitu Young Tigress, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA dan MBSJ FC.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melancarkan Liga Wanita Nasional 2025 di Saloma Kuala Lumpur, hari ini.

Saingan musim ini dianjurkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Sports Media Inc, dengan penambahan peraturan baharu yang membenarkan setiap pasukan mendaftarkan dua pemain import.

Menurut FAM, peraturan itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing liga wanita tempatan selaras dengan pembangunan bakat muda negara.

Majlis Pelancaran LWN 2025 di Kuala Lumpur

Pelancaran turut disertai Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Hannah dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada FAM dan semua pihak terlibat yang terus komited menyediakan ruang serta peluang kepada pemain bola sepak wanita di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bertemu mesra bersama pemajn bola sepak yang akan bersaing di LWN2025

“Pelancaran LWN 2025 membuktikan bola sepak wanita mempunyai potensi besar sekiranya diberi sokongan yang berterusan. Peningkatan jumlah pasukan juga mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sukan ini,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan dana sebanyak RM840,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) bagi menyokong penganjuran LWN edisi kali ini.

Sementara itu, Suraya menjelaskan penglibatan pemain import memberi nilai tambah kepada liga sekali gus membuka ruang kepada pemain tempatan untuk menimba pengalaman berharga.

“Kita mahu bawa bola sepak wanita ke tahap lebih profesional dan kompetitif. Selain merebut kejuaraan, pasukan bertanding juga akan bersaing untuk slot ke Peringkat Kelayakan AFC Women’s Champions League tahun depan,” katanya lagi.

Saingan LWN 2025 yang melibatkan 56 perlawanan telah pun bermula pada Sabtu, 12 Julai lalu dengan perlawanan pembukaan antara Red Eagles SC dan juara bertahan LWN 2024, Kelana United FC berakhir seri 1-1.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button