BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Kes kebakaran bangunan strata di Kuala Lumpur meningkat, langkah keselamatan diperkukuh

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes kebakaran di bangunan strata di ibu negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendorong kerajaan mempergiat usaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di kawasan kediaman bertingkat termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, statistik menunjukkan kes kebakaran di bangunan strata di Kuala Lumpur meningkat daripada 68 kes pada 2023 kepada 75 kes pada 2024 sebelum melonjak kepada 86 kes pada 2025.

Menurut beliau, trend itu menunjukkan betapa pentingnya usaha memperkukuhkan kesedaran keselamatan kebakaran serta tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam kalangan pihak pengurusan bangunan dan penduduk.

“Trend ini menunjukkan betapa pentingnya usaha memperkukuhkan kesedaran keselamatan kebakaran serta tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam kalangan pihak pengurusan bangunan dan juga penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBPM WPKL) akan mempergiat usaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di pembangunan strata melalui dua langkah utama.

Langkah pertama ialah memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala oleh badan pengurusan bangunan termasuk Joint Management Body (JMB) dan Management Corporation (MC).

“Penyelenggaraan berjadual amat penting bagi memastikan sistem pencegahan kebakaran, peralatan keselamatan serta proses pemindahan kecemasan sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

“Semua badan pengurusan bangunan perlu memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala bagi menjamin keselamatan penghuni sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Kebakaran PPR
Keadaan sebuah rumah yang terbakar di Flat Sentul Utama yang mengorbankan seorang wanita warga emas dan anak lelakinya di Jalan Dato’ Senu, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Langkah kedua pula melibatkan peranan aktif penduduk dengan menggalakkan mereka berinteraksi dan mengingatkan pihak JMB atau MC supaya penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan secara konsisten.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk supaya mengetahui laluan keluar kecemasan di bangunan masing-masing serta memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran.

Antara nasihat keselamatan yang ditekankan ialah supaya penduduk tidak berlindung di dalam tandas ketika kebakaran, kerana ruang tersebut mempunyai pengudaraan yang sangat terhad dan boleh dipenuhi asap dengan cepat.

“Kebanyakan mangsa kebakaran sebenarnya meninggal dunia akibat terhidu asap, bukannya kerana melecur.

“Tandas biasanya mempunyai pengudaraan terhad dan asap boleh memenuhi ruang tersebut dalam masa yang singkat,” katanya.

Beliau berkata, tandas juga boleh menjadi ruang berbahaya kerana lazimnya tidak mempunyai laluan keluar kedua selain sukar dikesan oleh anggota penyelamat ketika operasi menyelamat dijalankan.

Dalam pada itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada JBPM WPKL atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan warga Kuala Lumpur melalui operasi pemadaman kebakaran, menyelamat serta bantuan ketika bencana.

Sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan jabatan tersebut, beliau turut menyalurkan geran sebanyak RM50,000 bagi membantu pembelian peralatan tambahan untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi pasukan bomba di ibu negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button