Tiga beranak warga Rohingya maut dalam kebakaran rumah di Bagan Serai
BAGAN SERAI – Tiga beranak warga Rohingya ditemukan rentung selepas rumah didiami mereka di Jalan Maju 4, Taman Serai Maju, di sini terbakar awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Yunus Nor Ali, 27, bersama dua anak lelakinya, Muhammad Woheed, 6, dan Mohamad Aheed, 3.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.17 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, BBP Kuala Kurau serta Pasukan Bomba Sukarela Bagan Serai dikejarkan ke lokasi, dengan jentera pertama tiba pada 5.30 pagi.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah rumah jenis berkembar sedang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 70 peratus.
“Rumah ini dihuni tujuh warga asing dan mempunyai dua bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sayani berkata, isteri mangsa, Saniya Jahan Juma Abul Kasim, 24, ditemui di luar rumah dengan kecederaan melecur pada tangan dan kaki.
Katanya, wanita itu memaklumkan suami serta dua anaknya masih terperangkap di dalam rumah sebelum pasukan bomba segera memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa wanita yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital, manakala anggota penyelamat menjalankan operasi mengesan mangsa di dalam rumah.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian ditemui dalam bilik pertama yang sedang terbakar,” katanya.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan ketiga-tiga mangsa telah meninggal dunia.
Sayani berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.20 pagi, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.35 pagi.
“Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Forensik Kebakaran dari Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Perak membabitkan enam pegawai turut dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di bilik pertama, iaitu bilik tempat ketiga-tiga mangsa ditemukan.
“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








