JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Bangladesh maut dihempap kren

KUALA LUMPUR – Seorang pengendali kren maut dalam kemalangan tragis apabila jentera yang dikendalikannya sendiri terbalik sebelum menghempapnya ketika menjalankan kerja pembaikan papan tanda bangunan di Jalan Perak, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa dipercayai sedang mengendalikan sebuah kren jenis spider lift menggunakan alat kawalan jauh sebelum berlaku insiden yang membawa kepada kematiannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah kren dan dua buah kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kren tersebut dipercayai telah terlanggar tebing kaki lima.

“Keadaan itu menyebabkan kren berkenaan hilang imbangan sebelum terbalik.

“Kren yang terbalik itu kemudian menghempap mangsa serta dua buah kenderaan berhampiran iaitu Proton Persona dan BMW 523i,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, salah sebuah kenderaan yang dihempap mempunyai pemandu dan penumpang di dalamnya manakala sebuah lagi hanya dipandu seorang individu.

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bagi kedua-dua kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.

“Mangsa yang merupakan warga Bangladesh berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren dan kontraktor yang terlibat dalam kerja pembaikan tersebut.

“Semakan juga sedang dibuat berhubung permit kebenaran kerja yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut sedang diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button