Teknologi nuklear bantu tingkat produktiviti sektor pertanian
SERDANG – Teknologi nuklear bakal dimanfaatkan secara lebih meluas dalam sektor pertanian negara menerusi kerjasama strategik antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi berasaskan nuklear bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air, produktiviti tanaman padi serta daya tahan sektor agromakanan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
“Kedua-dua agensi akan meneroka penggunaan teknologi nuklear dalam aspek hidrologi dan pengurusan sumber air termasuk pemantauan air bawah tanah, kajian sedimentasi serta penilaian integriti infrastruktur pengairan.
“Pendekatan berasaskan sains dan teknologi berkenaan dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan air di empangan serta kawasan penanaman padi di bawah seliaan MADA,” menurut Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kedua-dua agensi berlangsung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), hari ini.
Majlis disempurnakan antara Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin dan Pengurus Besar MADA, Zulkifli Romli disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak.

Dalam masa sama, Nuklear Malaysia dan MADA sedang meneroka penanaman varieti padi yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim, selain memperkukuh keupayaan ramalan hidrologi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta pengagihan sumber air ke kawasan penanaman padi.
Kerjasama itu tidak hanya tertumpu kepada penyelidikan sebaliknya turut merangkumi pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi melalui penyeliaan bersama pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
“Langkah itu dijangka melahirkan lebih ramai penyelidik, saintis dan tenaga teknikal tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi nuklear, hidrologi dan agroteknologi,” katanya.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia, kerjasama dengan MADA juga membuktikan komitmen agensi untuk memperluas manfaat teknologi nuklear secara aman dalam menangani cabaran pembangunan negara, khususnya berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang menekankan usaha memperkasakan ekosistem teknologi nuklear negara serta memperluas penggunaannya dalam sektor strategik bagi menyokong pembangunan sosioekonomi, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








