BERITA SEMASA

MAHA 2024: Mat Sabu saksikan pertukaran MoU Jabatan Perikanan dengan agensi luar

SERDANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan Malaysia sektor swasta, perbadanan serta
Institut Pengalian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, fokus utama MOU ini adalah bagi membangunkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan khususnya dalam bidang berkaitan perikanan.

“Ia membabitkan pemetaan rumput laut, pemuliharaan ekologi marin, air tawar, akuakultur, kesihatan ikan, inovasi produk perikanan, oseanografi serta perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pertukaran MoU yang diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 ini melibatkan Yayasan PETRONAS, Dana Hidupan Liar Sedunia (WF), Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah sebagai usaha kerjasama dalam memulihara habitat marin.

Mohamad Sabu berucap sebelum Majlis pertukaran MoU antara Jabatan Perikanan Malaysia dengan agensi luar. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tambah Jabatan Perikanan Malaysia, dengan temeterainya perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bakal memanfaatkan sumber dan kepakaran masing-masing ke arah memastikan keselamatan makanan, menjamin sumber perikanan yang mampan seterusnya dapat meningkatkan nilai sumbangan produktiviti untuk pembangunan sektor perikanan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata, kerjasama ini dapat memperbaiki pemetaan rumput laut, menjalankan penyelidikan yang mendalam, seta melindungi biodiversiti yang amat berharga bagi generasi akan datang.

Jelas beliau, Malaysia dianugerahkan dengan limpahan sumber asli dari darat ke laut dan menjadi salah sebuah negara disenaraikan sebagai Mega Biodiverse Country kerana terletak dalam lingkungan perairan segitiga terumbu karang atas kepelbagaian biologi yang tinggi.

“Perkhidmatan ekosistem marin di taman laut pula dianggarkan menyumbang sebanyak RM8.7 billion setahun.

“Tanpa ekosistem marin yang sihat maka kehidupan rakyat akan terjejas akibat kekurangan makanan, hilang punca pendapatan, peningkatan keperluan peruntukan kewangan untuk remediasi kemusnahan habitat dan nilai-nilai ekonomi dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tentunya akan berkurangan.

“Oleh itu, pengurusan berkesan sumber biodiversiti marin termasuk sumber perikanan adalah amat penting sentiasa diberikan penekanan,” katanya.

Mohamad Sabu merasmikan MAHA Go Global sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 di Serdang hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis, berkata MoU yang disepakati ini dapat mempromosi seta memajukan pemuliharaan alam sekitar di Semenanjung Malaysia khususnya dalam pemuliharaan rumput laut.

“Yayasan Petronas komited untuk melaksanakan inisiatif yang bukan sahaja menjaga alam sekitar dan memulihara ekosistem rumput laut, tetapi juga memperkukuh daya tahan komuniti dalam menghadapi cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.

“Kajian dan penyelidikan pemuliharaan menerusi penghasilan pemetaan rumput laut yang komprehensif akan menyumbang kepada peningkatan pemahaman tentang fungi pengurusan dan konservasi ekosistem ini,” ujarnya.

MAHA 2024 yang berlangsung di MAEPS, Serdang merupakan acara terbesar yang mempamerkan inovasi dan pencapaian dalam bidang pertanian, hortikultur, dan agro pelancongan.

Majlis pertukaran MOU ini merupakan sebahagian daripada program MAHA 2024 dan menunjukkan komitmen bersama dalam memajukan sektor perikanan serta pemuliharaan alam sekitar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button