Noor Azman bebas tuduhan palsu dokumen – FAM
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman tidak terbabit dalam sebarang pemalsuan dokumen seperti yang didakwa sebelum ini, sekali gus menamatkan penggantungan beliau dan mengembalikannya ke jawatan Setiausaha Agung berkuat kuasa serta-merta.
Penggantungan Noor Azman dibuat pada 17 Oktober tahun lalu susulan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang meneliti pentadbiran FAM, termasuk isu ketidakteraturan dalam pengurusan dokumentasi pemain naturalisasi.
FAM berkata, laporan berkenaan tidak pernah mengaitkan Noor Azman secara langsung dengan perbuatan memalsukan dokumen, sebaliknya hanya mengenal pasti beberapa kelemahan dalam proses pentadbiran.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan beliau sementara kes itu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi pertimbangan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu meneliti semula kes tersebut dengan mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dilalui serta dapatan laporan IIC bertarikh 15 Disember.
Hasil penelitian itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengembalikan Noor Azman ke jawatan Setiausaha Agung FAM dengan serta-merta.
FAM turut berkata, Noor Azman hanya dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran dan tidak bersalah serta tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan dokumen.
“Beliau hanya terlibat dalam aspek kelemahan pentadbiran dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes pemalsuan dokumen,” katanya lagi.
Keputusan tersebut dibuat ketika FAM masih berdepan perhatian umum susulan skandal dokumentasi pemain naturalisasi yang mencetuskan beberapa laporan polis serta siasatan berterusan oleh pihak berkuasa.
Pada Oktober lalu, bola sepak Malaysia dikejutkan apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati FAM bersalah memalsukan dokumen tujuh pemain naturalisasi iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Gabriel Palmero.
Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan serta didenda 2,000 Swiss franc setiap seorang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








