Kontroversi pemain warisan: Hamidin terbang ke Zurich, penyokong diminta bertenang
KUALA LUMPUR – Penyokong pasukan Harimau Malaya diminta bertenang berhubung kontroversi melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang dikenakan hukuman tegas oleh Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) kerana didakwa menggunakan dokumen palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, ini kerana Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang juga merupakan ahli Majlis FIFA telah berada di Zurich, Switzerland hari ini difahamkan bagi menjalankan proses rayuan tersebut.
“Presiden Kehormat FAM dah sampai Zurich. Mohon doa rakyat Malaysia agar semua urusan FAM berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah.
“Rakyat dan penyokong Harimau Malaya diminta bertenang dahulu,” katanya melalui perkongsian di media sosial.
Kelmarin, FIFA mengenakan tindakan ke atas FAM selepas mendakwa persatuan itu memalsukan dokumen untuk melayakkan tujuh pemain tertentu dikira sebagai rakyat Malaysia.
Menurut FIFA, FAM didakwa menyerahkan dokumen palsu semasa proses kelayakan, membolehkan pemain tersebut beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun 2025.
Mereka ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Figueiredo, Irazábal dan Hevel.
Setiap pemain dikenakan denda sebanyak 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,570), manakala FAM pula didenda 350,000 franc Swiss (RM1.85 juta).
Selain itu, mereka turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
Kelab-kelab antarabangsa seperti Deportivo Alavés (Garcés), América de Cali (Holgado), Unionistas de Salamanca (Palmero) dan Vélez Sarsfield (Machuca) mengesahkan pemain mereka tidak dibenarkan beraksi buat sementara waktu sehingga keputusan rayuan diumumkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






