TMJ dakwa bola sepak Malaysia masih dikongkong ‘orang bodoh’
KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak dalam ekosistem bola sepak tanah air yang didakwa masih gagal menghargai pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak lebih sedekad lalu.
Menurut baginda, meskipun JDT sudah mencipta pelbagai rekod dan sejarah dalam serta luar padang sejak 12 tahun lalu, masih wujud mentaliti kolot yang enggan menerima pendekatan moden dan profesional yang diterapkan oleh kelab tersebut.
“Kita tersekat dengan orang-orang bodoh yang tak dapat beza. 12 tahun pecah rekod dan cipta sejarah dalam dan luar padang. Tapi masih tak sedar,” titah baginda menerusi satu hantaran di Instagram rasmi, hari ini.
TMJ turut menzahirkan pandangan bahawa bola sepak Malaysia seolah-olah tidak sehaluan dengan visi serta standard yang dibawa JDT, malah menyifatkan persekitaran bola sepak negara belum bersedia untuk melakukan perubahan secara menyeluruh.
“Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT. Mereka patut kembali kepada mindset anak jati, Piala Malaysia lebih penting daripada liga dan tolak Piala AFC,” katanya lagi.
Baginda dipercayai merujuk kepada sikap sesetengah penyokong dan penggiat bola sepak tempatan yang masih mengagungkan kejayaan tradisional berbanding usaha pembangunan kelab secara sistematik, termasuk dari segi infrastruktur, pengurusan serta pembangunan akar umbi.
TMJ turut menyentuh mengenai pandangan skeptikal terhadap JDT yang terus wujud walaupun kelab itu pernah menjuarai Piala AFC 2015, satu-satunya kelab Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan tersebut.
“Kita terlalu laju dan jauh ke depan berbanding mereka. Fakta tak pernah menipu,” titah baginda.
JDT kini muncul sebagai kelab paling dominan dalam Liga Malaysia, lengkap dengan kemudahan bertaraf antarabangsa seperti Stadium Sultan Ibrahim dan Akademi JDT di Iskandar Puteri yang menjadi antara teras pembangunan bakat muda negara.
Dalam perkembangan sama, baginda turut berharap agar landskap bola sepak negara dapat berubah kepada lebih moden dan profesional selaras dengan perkembangan bola sepak di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








