BERITA SEMASASUKAN

Miliki pertalian darah Malaysia, Holgado dijangka sertai latihan Harimau Malaya esok

KUALA LUMPUR – Meskipun belum ada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski memberi petunjuk awal bahawa Rodrigo Holgado berkemungkinan besar merupakan pemain warisan terbaru skuad Harimau Malaya.

Difahamkan, pemain kelahiran Argentina itu memiliki pertalian darah Malaysia melalui neneknya sekali gus melayakkan dirinya untuk mewakili negara.

Penyerang berdarah campuran, Rodrigo Holgado dijangka menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di ibu negara pada esok selepas menamatkan komitmen bersama kelabnya, America de Cali.

Menurut wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra, pemain berusia 29 tahun itu telah melengkapkan segala dokumen perjalanan dan tiket penerbangan sebaik tamat aksi liga domestik semalam.

Dalam perlawanan terakhirnya bersama kelab Colombia itu, Holgado beraksi selama 70 minit ketika membantu pasukannya seri 1-1 menentang Independiente Medellin di Stadium Atanasio Girardot.

“Perkara itu masih belum dimuktamadkan. Kami di FAM juga masih menunggu keputusan daripada pihak kejurulatihan,” katanya ringkas.

“Pengurusan skuad kebangsaan Malaysia telah menyediakan segala keperluan termasuk tiket penerbangan untuk membawa Holgado ke Malaysia. Beliau dijangka melapor diri ke kem latihan pusat buat kali pertama pada Selasa,” kata Sierra menerusi ciapan di platform X.

Difahamkan, laluan penerbangan pemain kelahiran Argentina itu telah disusun melibatkan transit di Medellin, Miami dan Doha sebelum tiba di Kuala Lumpur.

Kehadiran Holgado dilihat sebagai suntikan baharu buat Harimau Malaya yang akan menghadapi Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebelum ini enggan mengulas lanjut mengenai penyertaan Holgado dalam perlawanan menentang Vietnam dan meminta semua pihak menunggu pengesahan daripada ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button