FAM genap 99 tahun, melangkah setahun ke usia satu abad
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini genap berusia 99 tahun sejak ditubuhkan pada 11 September 1926, menjadikannya hanya setahun lagi untuk mencapai usia satu abad.
FAM pada awalnya ditubuhkan sebagai Malayan Football Association (MFA) dalam satu persidangan di Padang Kelab Selangor dengan lima persatuan negeri sebagai pengasas iaitu Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura. Ia bertujuan menubuhkan badan induk yang mampu mengawal selia aktiviti bola sepak domestik serta antarabangsa.
Presiden pertama MFA ialah John Middleton Sime, seorang akauntan berbangsa Scotland daripada keluarga pengasas Sime Darby, sebelum badan itu ditukar nama kepada Football Association of Malaya pada 1932. Selepas Malaysia terbentuk, persatuan itu dikenali sebagai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1964.
Sepanjang hampir satu abad, FAM melalui pelbagai era penting termasuk kejayaan pasukan kebangsaan Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 dan layak ke Piala Asia AFC 1980.
Era moden pula menyaksikan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, layak ke Piala Asia 2023 selepas penantian 43 tahun, serta melancarkan pelan pembangunan jangka panjang F:30.
Dari segi kepimpinan, FAM pernah diterajui oleh tokoh penting seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1951, Almarhum Sultan Ahmad Shah selama tiga dekad, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan terkini Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM pada Ogos lalu.
Dengan sejarah panjang serta kejayaan tersendiri, FAM kini melangkah ke usia 99 tahun dengan misi memperkukuh bola sepak negara menjelang sambutan satu abad pada 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















