Impian Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 terkubur
KUALA LUMPUR – Impian Harimau Malaya untuk melangkah ke Piala Asia 2027 berakhir dengan kekecewaan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan skuad negara bersalah menurunkan pemain tidak layak dalam dua aksi kelayakan sebelum ini.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerima pengesahan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC yang bersidang pada Selasa lalu.
Menurut FAM, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Jahangir Baglari mendapati badan induk itu melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Dua perlawanan terbabit ialah aksi menentang Nepal national football team di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-0 serta perlawanan menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 4-0.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
“Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, FAM memaklumkan akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung perkara berkenaan.
Harimau Malaya yang sebelum ini mendahului Kumpulan F dengan 15 mata kini hanya berbaki sembilan mata, sekali gus terlepas slot ke Piala Asia 2027.
Vietnam kini mendahului kumpulan dengan 18 mata dan mengesahkan tempat sebagai juara kumpulan serta layak ke kejohanan di Arab Saudi itu.
Terdahulu, AFC mengumumkan kes pemalsuan dokumen membabitjan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








