Pemain warisan: TMJ dakwa pendedahan dilakukan individu dari Vietnam
SUBANG JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu tujuh pemain warisan Malaysia bukan dibuat oleh Persatuan Bolasepak Vietnam (FA Vietnam), sebaliknya oleh seorang individu dari negara itu.
Baginda menjelaskan perkara tersebut ketika sidang media khas yang diadakan hari ini, sekali gus menepis tanggapan bahawa laporan itu berpunca daripada pihak rasmi FA Vietnam.
“Selepas kemenangan ke atas Vietnam, kita mempunyai pertikaian dan AFC memberitahu bahawa laporan tersebut tidak dilakukan oleh ahli jawatankuasa dalam FA Vietnam seperti presiden ataupun pegawai lain, namun seseorang dari Vietnam,” titah baginda.
Sebelum ini, FIFA pada 26 September lalu telah menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam proses pendaftaran pemain.
FAM bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan menjelaskan bahawa ia berpunca daripada kesilapan teknikal oleh kakitangan pentadbiran.
Rayuan rasmi telah dikemukakan kepada FIFA pada 15 Oktober lalu melalui pasukan peguam antarabangsa yang dilantik khas oleh FAM.
Kesemua tujuh pemain yang terlibat kini digantung selama 12 bulan sementara rayuan sedang diproses.
Hukuman tersebut turut memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya yang kini kehilangan khidmat beberapa tonggak utama kelahiran luar negara.
Keputusan berhubung rayuan itu dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini sama ada diterima atau ditolak oleh FIFA yang bakal menentukan hala tuju masa depan pemain warisan serta kredibiliti pentadbiran FAM dalam menguruskan dokumentasi pemain naturalisasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








