SUKAN

Hukuman FIFA tidak akan berubah – TMJ

SUBANG JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpandangan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan mengubah keputusan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Baginda bertitah, walaupun kemungkinan hukuman diringankan, keputusan asal dijangka kekal.

“Saya rasa FIFA tak akan tukar keputusan, mungkin hanya ringankan hukuman tersebut. Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat,” titah baginda pada sidang media khas di Hotel Dorsett Subang, hari ini.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa barisan peguam yang dilantik akan tetap berusaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

“Ya, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan tapi kita akan cuba ‘fight’. Walau apa pun keputusan nanti, peguam kami tetap akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan, masalah yang timbul berpunca daripada kesilapan teknikal ketika proses penghantaran dokumen kepada badan induk bola sepak dunia itu.

Namun, tegas baginda, aspek integriti dan legitimasi tidak boleh dipersoalkan kerana pemain-pemain terbabit adalah sah dari sudut perlembagaan.

“Kesilapan teknikal itu berlaku ketika dokumen dihantar. Mungkin sebab itu Setiausaha Agung digantung. Bila sampai soal integriti, kita tak boleh persoalkan kerana dari segi perlembagaan pemain ini sah dari segi undang-undang,” titahnya.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa pemain tidak wajar dipersalahkan memandangkan mereka tidak mengetahui apa-apa mengenai isu berkenaan.

“Pemain tidak tahu apa-apa. Mereka tidak patut terlibat atau digantung tetapi undang-undang tetap undang-undang. Kita perlu hormati proses yang sedang berjalan,” titah baginda lagi.

Terdahulu, FAM serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain yang terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Keputusan akhir FIFA berhubung isu tersebut akan diketahui pada 30 Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button