Infantino umum penganjuran FIFA ASEAN Cup
KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, hari ini mengumumkan penganjuran kejohanan bola sepak FIFA ASEAN Cup, yang akan melibatkan kesemua 11 negara Asia Tenggara.
Kejohanan tersebut akan dianjurkan mengikut Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA bagi memberikan impak lebih besar kepada rantau ini yang mempunyai populasi kira-kira 700 juta penduduk, lapor BERNAMA.
“Kejohanan ini dilancarkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak serantau dengan menghimpunkan pemain-pemain terbaik mengikut kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, supaya ia benar-benar memberi kesan besar di rantau ini dan bersinar di pentas dunia.
“Bola sepak menyatukan dunia, dan bersama 11 negara ASEAN, kami menubuhkan FIFA ASEAN Cup, satu kejohanan yang akan mengeratkan hubungan serantau serta menjadi kejayaan besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pembangunan bola sepak serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








