BERITA SEMASA

Turun pemain tidak layak: FIFA potong mata kemenangan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu menurunkan pemain yang tidak layak.

Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIFA yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu.
FIFA mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.

Perlawanan berkenaan ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1; Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil (4 September ) yang dimenangi Malaysia 2-1; dan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri(8 September) yang dimenangi Malaysia 1-0.

Sehubungan itu, FIFA membuat keputusan Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan terbabit.

Selain pengisytiharan kekalahan, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

Hukuman itu memberi kesan besar kerana Malaysia kemungkinan akan ditolak mata dalam ranking dunia, sekali gus menyebabkan kedudukan pasukan di carta FIFA merosot.

FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan rasmi keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button