Harimau Malaya naik lima anak tangga dalam ranking FIFA dunia
KUALA LUMPUR – Pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya mencatat peningkatan membanggakan apabila melonjak lima anak tangga ke kedudukan nombor 118 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kedudukan baharu itu adalah peningkatan daripada tangga ke-123 yang dicatat pada 18 September lalu.
Menurut FAM, kemas kini terbaharu itu menjadi petunjuk positif terhadap prestasi semasa skuad kendalian Kim Pan Gon, khususnya dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
“Peningkatan ini adalah hasil kerja keras pemain dan barisan kejurulatihan yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan menentang Laos baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Malaysia kini mengetuai Kumpulan F selepas mencatat dua kemenangan bergaya ke atas Laos menang 3-0 di tempat lawan dan 5-1 di laman sendiri.
Kejayaan itu bukan sahaja memperkukuh peluang Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 malah turut menyumbang kepada lonjakan ranking dunia kali ini.
Kemas kini seterusnya ranking FIFA dijadual diumumkan pada 21 November ini di mana Harimau Malaya dijangka berpeluang memperbaiki lagi kedudukan sekiranya mengekalkan prestasi cemerlang mereka.
Prestasi positif Harimau Malaya dalam kempen kelayakan kali ini memberi sinar baharu kepada usaha Malaysia menempatkan diri antara pasukan terbaik Asia Tenggara di pentas antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








