BERITA SEMASAPMXSUKAN

PM umum tambahan RM15 juta biayai pembangunan bola sepak negara

PUTRAJAYA – Peruntukan pembangunan sukan bola sepak negara akan dinaikkan kepada RM30 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan sebanyak RM15 juta akan dibiayai syarikat swasta.

Untuk rekod, pada Belanjawan 2025 yang dimumkan Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pembangunan sukan nombor satyu negara itu.

Kata Anwar, peruntukan itu akan digunakan bagi meningkatkan program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa disertai.

“Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total daripada setiap sudut.

“Ia bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dana pembangunan itu akan turut digunakan bagi mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara.

Jelasnya, usaha itu secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.

“Selain daripada ikhtiar dilakukan oleh kerajaan dan FAM, saya berharap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri bola sepak.

“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai serta dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” katanya Anwar lagi.

Perdana Menteri seterusnya berkata, beliau berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button