Uzbekistan berminat jalin kerjasama dengan Petronas, terokai sektor petrokimia – PM
KUALA LUMPUR – Uzbekistan menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas, kata Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, hasrat tersebut disuarakan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev pada mesyuarat dua hala sempena kunjungan hormat beliau ke negara berkenaan.
“Presiden Shavkat nyatakan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia, selain kami bersetuju untuk mempermudah dan mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara.
“Kami turut bersetuju untuk mengangkat status Jawatankuasa Bersama untuk Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, dalam mesyuarat selama lebih satu jam itu, Presiden Shavkat turut menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.
Katanya, Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.
“Presiden Shavkat juga sambut baik usaha keras dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melawan rasuah dan salah guna kuasa, selain menghargai nilai-nilai yang diangkat dalam gagasan Madani.
“Saya dan Presiden Shavkat senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, khususnya terkait perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam,” ujarnya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan terhadap budaya dan ketamadunan Uzbekistan yang telah melahirkan ramai cendekiawan ulung seperti Imam Bukhari, Imam Tarmizi, Al Biruni, Naqshbandi, Ibnu Sina dan Ibnu Khwarizmi yang telah memberi sumbangan penting dalam dunia Islam.
“Saya turut menjemput Presiden Shavkat untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei depan,” ujarnya.
Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum itu, Perdana Menteri melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








