Anwar terharu lihat rencam kaum, budaya berkumpul dalam satu majlis
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu apabila menyaksikan kebersamaan rakyat Malaysia yang rencam kaum dan budaya berhimpun dalam penganjuran Cerita Malaysia Kita, yang merupakan sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata, penganjuran program itu menjadi satu wahana penting dalam menzahirkan budaya, keindahan alam semula jadi serta kekayaan warisan sejarah yang menjadi lambang kemegahan dan identiti nasional negara.
Menurut Anwar, majlis tersebut turut mengingatkan bahawa kekuatan terbesar Malaysia terletak pada ciri perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyatnya.
“Malah, kita punyai potensi yang sangat besar untuk melonjak tatanan ini sebagai contoh kepada semua.
“Sementara petunjuk ekonomi memberi keyakinan bahawa Malaysia berada di jalur yang betul, kita mesti menginsafi bahawa kemajuan tidak datang dengan mudah,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Beliau menegaskan, kemajuan negara menuntut iltizam, kerjasama serta keyakinan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu, malah wajib menjelmakan hasrat tersebut dengan seluruh upaya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sektor pelancongan akan terus menjadi nadi penting dalam usaha mengangkat martabat negara di mata dunia.
“Senyuman kita, sikap serta etika kerja dan khidmat mesti mencerminkan wajah negara di mata dunia. Kita hanya mampu melonjak ke hadapan sekiranya semua pihak diberi serta memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu melangkah ke hadapan secara bersama dan berpadu, dengan semua pihak didukung serta dilindungi demi memastikan negara terus gagah mengharungi cabaran masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








