PM puas hati peluasan, pelaksanaan inisiatif SARA
BALING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan sistem pembelian barangan melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluaskan ke pasar raya kecil di luar bandar.
Beliau pada masa yang sama turut berpuas hati dengan kelancaran sistem berkenaan yang kini semakin lancar berbanding hari pertama peluasan penggunaannya pada 31 Ogos lalu.
“Alhamdulillah puas hati sangat… tentang prestasi… sekarang dah tak ada masalah, dah empat lima hari ini dah tak ada satu aduan pun lagi.
“Saya tengok kalau setakat tadi bukan satulah, tujuh lapan (transaksi) dah berjaya. Nampak berjalan baiklah cuma hari itu hari pertama kedua ada ‘gangguan sementara’ sikitlah sekarang ini nampak lancar baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Program SARA di Pasaraya Ekonomi Rakyat Baling, di sini hari ini.
Peluasan sistem itu ke pasar raya kecil memberi kemudahan kepada pengguna termasuk rakyat di kawasan luar bandar.
“Saya tengok Program Sara ini… pertama bukan saja pasar raya besar tetapi yang kecil-kecil pun termasuk. Keduanya kita sekarang galakkan tambahan produk tempatan, kita tengok macam kopi (misalnya) kopi Baling, kemudian ada kicap (contohnya) kicap Kuala Kedah, Alor Setar ataupun di Kelantan.
“Ia tak termasuk kategori yang pasar raya besar, mana yang kecil-kecil (juga diperluaskan)… dan keduanya produk tempatan kita bagi keutamaan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keperluan tindakan tambahan terhadap sistem berkenaan, Anwar berkata, sebarang dasar atau penambahbaikan bantuan lain akan dibincangkan menerusi belanjawan yang akan dibentangkan Oktober depan.
“Setakat ini sistem berjalan dengan baik. Soal yang lain, soal apa-apa ikhtiar atau dasar baharu itu kita bincang dalam Belanjawan bulan Oktober,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








