“Percaya dengan rancangan Allah” antara nasihat Tun Siti Hasmah yang tidak dilupakan Ras Adiba
PUTRAJAYA – Bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang insan yang penuh kasih sayang dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada beliau, khususnya selepas berdepan cabaran hidup sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ras Adiba berkata, beliau tidak dapat melupakan sokongan yang diberikan Tun Siti Hasmah setiap kali mereka bertemu.
Menurutnya, Allahyarham sering mengingatkan supaya terus tabah menghadapi ujian hidup dan sentiasa percaya kepada ketentuan Allah SWT.
“Setiap kali saya berjumpa Tun Siti Hasmah, beliau akan sentiasa memberi sokongan. Beliau selalu berpesan supaya saya teruskan kehidupan walaupun berdepan cabaran sebagai OKU.
“Beliau kata, percayalah dengan rancangan Allah kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya walaupun kita mungkin tidak memahaminya pada hari ini,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini hari ini.
Ras Adiba berkata, Allahyarham turut menggalakkannya untuk terus berbakti kepada golongan OKU dan memperjuangkan kebajikan mereka di negara ini.
“Kata-kata nasihat dan dorongan yang diberikan Tun Siti Hasmah akan sentiasa terpahat dalam ingatannya.
“Beliau pernah berkata saya masih mampu berjaya dengan kemampuan sendiri dan perlu terus berusaha menjaga kebajikan komuniti OKU di Malaysia. Itulah antara perkara yang saya tidak boleh lupakan,” katanya lagi.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Ras Adiba berkata, Tun Siti Hasmah juga seorang yang sangat penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya.
“Beliau seorang yang sangat penyayang. Setiap kali bertemu, beliau akan menyapa dengan mesra dan membuatkan sesiapa sahaja berasa dihargai.
“Kami sangat menyayangi Tun Siti Hasmah. Malaysia kehilangan seorang tokoh yang budinya terlalu tinggi dan menjadi inspirasi kepada ramai orang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



