Pusara Nurly Shahirah masih diziarahi orang ramai
PASIR PUTEH – Meskipun tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik telah setahun berlalu, pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, 23, masih menerima kunjungan orang ramai setiap hari.
Bapanya, Azman Mohamad, 65, berkata, seramai 20 pengunjung dari dalam dan luar negara datang menziarahi pusara anaknya setiap hari, selain berkunjung ke rumah keluarga mereka di Kampung Gong Pasir, Jabi, Besut untuk melihat naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan Allahyarhamah.
Menurutnya, beliau tidak menyangka arwah Nurly Shahirah masih menjadi perhatian masyarakat walaupun setahun telah berlalu sejak tragedi itu.
“Pengunjung bukan sahaja dari Malaysia, malah ada yang datang dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei semata-mata untuk menziarahi pusara arwah serta melihat sendiri naskhah al-Quran yang ditulisnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Tok Bali, di sini hari ini.
Azman berkata, kebanyakan pengunjung tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka, namun hadir kerana terkesan dengan kecintaan arwah terhadap al-Quran dan ingin memberi penghormatan kepadanya.

“Dari pagi hingga petang sentiasa ada yang datang. Sebab itu saya tidak boleh meninggalkan rumah terlalu lama kerana tidak mahu menghampakan mereka yang berkunjung.
“Kehadiran berterusan orang ramai ini menunjukkan kehidupan arwah yang dekat dengan al-Quran meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau turut menegaskan bahawa keluarganya reda dengan ketentuan Allah SWT dan tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak atas tragedi yang menimpa anaknya.
Pada 9 Jun tahun lalu, Nurly Shahirah merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Ketika kejadian, bas tersebut dalam perjalanan membawa pelajar pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





