BERITA SEMASAPMX

Keakraban Sultan Brunei amat bermakna, dapat pupuk hubungan Malaysia-Brunei yang lebih erat

BANDAR SERI BEGAWAN – Keakraban secara peribadi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah cukup bermakna, dan akan dijaga sebaiknya bagi memupuk hubungan lebih erat antara Malaysia dan Brunei.

Menurut BERNAMA, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas keakraban itu, dan berasa amat tersentuh apabila Baginda berkenan berangkat ke Kuala Lumpur tanpa undangan rasmi hanya beberapa hari selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022 untuk memberikan sokongan.

“Keakraban hubungan peribadi kedua-dua pemimpin negara Malaysia dan Brunei itu penting untuk dimanfaatkan dalam meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berjiran.

“Ini perkembangan, yang bagi saya sangat peribadi dan sangat bermakna. Ini juga menunjukkan kesediaan Brunei membuka lembaran baharu memberikan suatu fokus meningkatkan persahabatan dua hala,” kata Anwar dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia-Brunei di sini, menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah telah berangkat ke Kuala Lumpur pada 28 Nov 2022, setelah Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 pada 24 November 2022.

Sementara itu, Anwar berkata, kerjasama erat yang sedang ditingkatkan antara Malaysia dan Brunei juga akan memberi manfaat besar kepada Sabah dan Sarawak, dua negeri yang berjiran dengan negara tersebut.

Sebagai contoh, katanya, dalam bidang pertanian, Brunei telah menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dalam beberapa perancangan pertanian baharu di Sabah dan Sarawak, dan kerajaan Persekutuan memberikan galakan sepenuhnya dalam perkara ini.

Perdana Menteri berkata turut dipersetujui, kerjasama dalam bidang pelancongan, terutama untuk Brunei, Sabah dan Sarawak, di samping kerjasama dalam sektor pengangkutan yang boleh menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan itu.

“Ini melibatkan penerbangan antara Brunei, Sabah dan Sarawak selain Semenanjung, yang mampu beri manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini bagi mengakhiri lawatan kerja selama dua hari ke Brunei.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button