RMK13 : Komitmen perkukuh daya saing negara – Fadillah
KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai perancangan menyeluruh, realistik dan merangkumi pelbagai sektor serta lapisan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tema “Melakar Semula Pembangunan” yang diketengahkan dalam RMK13 mencerminkan iltizam kerajaan untuk memperkukuh daya saing negara di peringkat global.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan Kementerian Ekonomi atas pembentangan rapi ini yang mengambil kira pendekatan pembangunan holistik, menyantuni rakyat, menghormati kelestarian alam sekitar serta menekankan tadbir urus yang baik,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kementeriannya memberi tumpuan kepada jaminan bekalan tenaga dan air yang mampan, selaras dengan kemampuan rakyat dan keperluan alam sekitar.
“Kerajaan memperkenalkan sistem pasaran tenaga lebih inovatif termasuk mekanisme eksport tenaga boleh baharu serta konsep ‘time of use’ bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji potensi teknologi nuklear sebagai alternatif jangka panjang untuk sumber tenaga yang lebih bersih dan stabil.
Bagi sektor air, beberapa projek tebatan banjir telah diumumkan di negeri seperti Johor dan Perak bagi menangani risiko bencana berikutan perubahan iklim yang semakin mencabar.
Fadillah turut menyambut baik penekanan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui kesinambungan pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Trans Borneo yang disifatkan penting bagi memperkukuh keterhubungan serta pembangunan di kedua-dua wilayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








