SUKAN

FAM tunggu keputusan rayuan FIFA pada 30 Oktober

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengetahui keputusan rayuan berhubung hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 30 Oktober ini.

Peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz yang mewakili FAM dalam prosiding di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA, berkata rayuan rasmi telah difailkan pada 14 Oktober selepas keputusan asal dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu.

“Situasi sekarang ialah keputusan asal telah dikeluarkan pada September. Dalam tempoh masa yang ditetapkan, kami memfailkan rayuan rasmi pada 14 Oktober,” katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, hari ini.

Menurut Vittoz, Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan bahawa keputusan dijangka dibuat pada 20 Oktober, sebelum diumumkan secara rasmi pada 30 Oktober 2025 kepada semua pihak berkaitan.

“Keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober oleh Jawatankuasa Rayuan dan kemungkinan besar akan dimaklumkan kepada pihak terlibat pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” jelasnya.

Tambah beliau, proses rayuan ini menjadi peluang penting untuk FAM mengemukakan hujah dan dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan serta nama baik bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sekiranya keputusan Jawatankuasa Rayuan tidak memihak kepada FAM, katanya, badan induk itu masih mempunyai ruang untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi proses semakan lanjut.

“Selepas keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan ini, jika FAM atau pemain tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan rayuan ke CAS. Namun, proses di peringkat itu akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan,” katanya lagi.

Vittoz berkata, semua langkah yang diambil menunjukkan komitmen penuh FAM dalam mempertahankan nama baik bola sepak negara serta memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak terlibat.

“FAM menghormati sepenuhnya proses perundangan dan tatatertib FIFA serta percaya semua fakta akan diteliti secara objektif sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan kes secara rapat dan memberi kerjasama penuh kepada FIFA bagi memastikan ketelusan dan integriti sepanjang proses rayuan dikekalkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button