Malaysia perkukuh kerjasama ASEAN tangani kemudaratan dalam talian
KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani kemudaratan dalam talian, termasuk jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi, menerusi penyelarasan lebih erat antara kerajaan serta pengawal selia.
Usaha itu diberi tumpuan menerusi Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (Ministers-Regulators Roundtable Meeting – MRRM) yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersempena M360 ASEAN 2026, hari ini.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia dari rantau ini bersama rakan pengawal selia antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sifat kemudaratan dalam talian yang tidak mengenal sempadan memerlukan kerjasama lebih kukuh antara pengawal selia dan bidang kuasa.
“Kemudaratan dalam talian tidak terhenti di sempadan negara, begitu juga dengan tindak balas kita.
“Melalui MRRM, kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal yang berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : M360 ASEAN perkukuh kerjasama digital, satukan kerajaan dan industri
Menurut beliau, mesyuarat meja bulat itu turut menjadi platform untuk bertukar pengalaman pengawalseliaan dan pendekatan praktikal dalam menangani kemudaratan dalam talian, dengan tumpuan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital yang semakin merentasi sempadan.

Perbincangan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kebertanggungjawaban platform serta meningkatkan kerjasama antara bidang kuasa.
Mesyuarat itu turut menampilkan pandangan daripada rakan pengawal selia antarabangsa, termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan Ofcom United Kingdom yang berkongsi pendekatan masing-masing terhadap pengawalseliaan keselamatan dalam talian, pengalaman pelaksanaan serta pengajaran daripada kerangka pengawalseliaan mereka.
Mesyuarat Meja Bulat itu berlandaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia serta komitmen serantau yang dinyatakan dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN (Safe and Responsible Use of Social Media Platforms for ASEAN).
Deklarasi berkenaan menyeru kepada kerjasama dan ketelusan yang lebih erat serta perkongsian amalan baik dalam menggalakkan persekitaran digital yang lebih selamat.
“Kepelbagaian kita adalah satu kekuatan, namun jurang dalam kawal selia tidak seharusnya membuka ruang untuk eksploitasi.
“Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama.
“Platform telah membina ruang digital ini, dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penggunanya.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah lebih banyak titik persamaan antara kerajaan dan pengawal selia, serta hala tuju yang lebih jelas ke arah tindakan serantau yang lebih teratur,” tambah beliau.
Dalam pada itu, para peserta sebulat suara menegaskan komitmen bagi memastikan kanak-kanak dapat meraih manfaat daripada peluang digital, di samping mendapat perlindungan lebih baik daripada risiko dalam talian merangkumi jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.
Para perwakilan turut bersetuju bahawa ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan menerusi pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kawal selia berkesan, sokongan literasi digital ibu bapa lebih kukuh dan akauntabiliti platform yang lebih tinggi bagi membina kepercayaan digital.
Pada masa hadapan, MRRM akan terus menyediakan platform kepada pembuat dasar dan pengawal selia untuk bertukar pengalaman, membincangkan isu baharu berkaitan keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital serta meneroka bidang kerjasama praktikal di peringkat serantau dan antarabangsa.
Mengulas mengenai perbincangan itu, Fahmi berkata, walaupun pendekatan pengawalseliaan mungkin berbeza, semua pihak berkongsi matlamat sama untuk membina persekitaran digital yang lebih selamat dan dipercayai.
“Perbincangan hari ini telah memperkukuh asas untuk meneruskan kerjasama dalam menangani cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








