BERITA SEMASA

MCMC pantau kandungan PRN 24 jam, orang ramai diminta lapor berita palsu

BATU PAHAT – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pemantauan kandungan secara 24 jam sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini bagi membendung penyebaran berita palsu dan kandungan menyentuh isu 3R.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemantauan tersebut dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Menurut beliau, MCMC akan memainkan peranan penting dalam memantau kandungan di platform digital sepanjang tempoh berkempen.

“Kita tidak mahu apa-apa kandungan yang tidak sihat, memudaratkan, bersifat berita palsu atau maklumat palsu disebarkan.

“Selain itu, kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja juga akan diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, hari ini.

Fahmi yang juga Ketua Komunikasi Pakatan Harapan (PH) hadir mengiringi calon PH DUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang sah bertanding dalam saingan tiga penjuru bagi kerusi berkenaan

Beliau berkata, pasukan MCMC telah bersiap siaga dan akan beroperasi sepanjang masa bagi memantau sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kandungan dalam talian.

“Saya telah diberi taklimat oleh pihak MCMC dan mereka akan bekerja 24 jam sehari sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.

“Usaha ini penting bagi memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menjejaskan proses demokrasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dengan melaporkan sebarang kandungan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya anda melihat kandungan yang bersifat palsu ataupun menyentuh isu 3R, laporkan terlebih dahulu kepada platform berkenaan kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada MCMC melalui portal aduan rasmi bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button