9 anggota FRU maut: Fahmi Fadzil ucap takziah, sedia bantu sekat penyebaran berita palsu
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis melibatkan Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus, Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak pagi tadi.
Beliau yang mewakili warga Kementerian Komunikasi berkata, pemergian sembilan anggota FRU dalam nahas tersebut merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan tetapi juga kepada negara.
“Anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, Kementerian Komunikasi juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih.
Katanya, ia bagi menyekat penyebaran berita palsu berhubung insiden itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
“Sama-sama juga kita berdoa agar kesemua anggota yang cedera dalam kejadian ini diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















