BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi ingatkan pengamal perhubungan awam kekal beretika dalam era AI

KUALA LUMPUR – Seiring kemajuan teknologi digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI), Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengingatkan pengamal perhubungan awam dan komunikasi agar terus memastikan nilai kemanusiaan tidak diketepikan.

Fahmi berkata, walaupun AI mampu mencipta kata-kata, gambar dan emosi, hanya manusia yang berupaya memberi makna, keadilan serta konteks kepada sesuatu komunikasi.

“AI boleh menghasilkan pelbagai bentuk komunikasi, tetapi manusia yang memberi makna, keadilan dan konteks.

“Justeru, peranan anda sebagai ahli perhubungan awam amat penting kerana anda memberi makna kepada mesej, empati kepada perbincangan dan kepercayaan kepada hubungan antara rakyat dan institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global Malaysia 2025 (GPRCFMY 2025) yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur hari ini.

GPRCFMY 2025, anjuran Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners), yang berlangsung selama tiga hari, menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, profesional media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap Sultan Nazrin, yang mencerminkan keprihatinan mendalam baginda terhadap kepentingan amalan komunikasi beretika dan berkesan dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dengan institusi negara.

Dalam ucapannya, Fahmi menegaskan, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang kukuh, beretika dan inklusif, dengan peruntukan sebanyak RM2.56 bilion di bawah Belanjawan 2026.

Jelas Fahmi, melalui Program Jendela Fasa 2, sebanyak 2,700 lokasi baharu telah disediakan bagi memperluas capaian digital dan memperkukuh akses internet di seluruh negara.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mempertingkatkan literasi digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan peruntukan RM350 juta bagi menjadikannya hab ilmu maklumat dan inklusi digital.

Beliau menjelaskan, Kementerian Komunikasi turut memperkukuh ekosistem maklumat nasional melalui Majlis Media Malaysia, yang bertujuan memastikan laporan bertanggungjawab, memupuk ketelusan serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media tempatan.

Fahmi berkata, peraturan keselamatan dalam talian yang jelas dan konsisten penting bagi memastikan rakyat, pencipta kandungan dan syarikat beroperasi dengan yakin, di samping melindungi pengguna terutama kanak-kanak daripada amalan tidak selamat di alam maya.

“Setiap rakyat Malaysia memerlukan keselamatan dalam talian sebagaimana keselamatan di luar talian.
Isu ini bukan tentang kawalan, tetapi tentang kejelasan dan tanggungjawab,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Fahmi menyeru agar maklumat yang dihasilkan oleh AI dikenal pasti dengan jelas serta disampaikan secara bertanggungjawab agar masyarakat tidak terdedah kepada maklumat palsu atau mengelirukan.

Beliau turut menggariskan tiga komitmen utama untuk komuniti perhubungan awam dan komunikasi negara, iaitu meningkatkan standard etika dan profesionalisme dengan kerjasama universiti tempatan.

Selain itu, komitmen itu turut merangkumi ketelusan dalam penyampaian maklumat serta menonjolkan Malaysia di mata dunia melalui komunikasi berkesan yang memaparkan imej progresif, inklusif dan yakin.

“Kredibiliti yang dibina atas dasar kejujuran akan kekal bertahan walaupun dalam kempen paling mencabar,” katanya sambil
menambah, komunikasi merupakan “kuasa lembut” (soft power) Malaysia yang mampu membina keyakinan dunia terhadap kemajuan dan keharmonian negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button