PRN17 Sabah: MCMC beri amaran kepada pengguna media sosial
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi peringatan tegas kepada pengguna media sosial agar tidak memuat naik kandungan sewenang-wenangnya terutama sepanjang kempen Pilihanraya Negeri Sabah (PRN17).
MCMC menegaskan bahawa keterujaan berkempen tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan hantaran berbaur fitnah, kebencian atau provokasi, sebaliknya setiap pengguna wajib beretika, berhemah dan bertanggungjawab ketika berinteraksi di platform digital.
MCMC berkata, platform digital seharusnya menjadi saluran untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan membina, bukannya ruang menabur kebencian, penghinaan atau sebarang bentuk hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.
“Di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), individu yang menyalahgunakan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi menyebarkan kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap agama, kaum atau Institusi Diraja (3R), selain kandungan lucah, palsu, mengancam atau jelik melampau, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegas kenyataan itu.
Pada masa sama, MCMC mengingatkan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk siasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Menurut MCMC lagi, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara dan segala proses berkaitan pilihan raya dapat berlangsung dengan lancar.
Kehangatan kempen PRN17 Sabah bermula secara rasmi hari ini bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








