BERITA SEMASA

Lebih 117,000 kandungan buli dan palsu diturunkan sejak 2022

KUALA LUMPUR – Lebih 117,000 kandungan berkaitan buli dan penyebaran maklumat palsu di media sosial diturunkan penyedia perkhidmatan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh 2022 hingga 15 September lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata jumlah itu merangkumi 60,632 kandungan berunsur buli, 55,895 kandungan palsu dan 1,277 kandungan berunsur fitnah.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kawal selia keselamatan digital menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menurutnya, pelaksanaan akta itu disokong pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Daripada aspek penguatkuasaan, MCMC bekerjasama rapat dengan PDRM membabitkan bantuan teknikal, perkongsian maklumat, analisis forensik digital serta penyelarasan tindakan penurunan kandungan dan sekatan laman sesawang,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta Kementerian Komunikasi menjelaskan langkah pencegahan bagi menangani unsur negatif di media sosial dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Buli Siber bagi menyelaras tindakan pencegahan dan penguatkuasaan secara bersepadu membabitkan pelbagai kementerian serta agensi.

Bagi menangani penyebaran maklumat palsu, MCMC turut memperkasakan Portal Sebenarnya.my yang menerbitkan 1,211 artikel semakan fakta sejak 2022 hingga September lalu.

Katanya, penggunaan pembantu semakan fakta berasaskan kecerdasan buatan (AI), iaitu AI Fact-check Assistant (AIFA), yang diperkenalkan pada 28 Januari 2025 turut memudahkan orang ramai menyemak kesahihan maklumat.

Sehingga 15 September lalu, AIFA merekodkan sebanyak 242,706 mesej diproses daripada pengguna.

Usaha meningkatkan kesedaran keselamatan digital turut dipergiat menerusi Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada Januari 2025 dan berjaya menjangkau lebih 2.8 juta peserta sehingga 30 September lalu.

Program itu dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti di seluruh negara.

Fahmi menegaskan, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan, penyedia platform dan masyarakat bagi memastikan persekitaran digital lebih selamat serta bertanggungjawab tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button